
Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan pendedahan tentang ancaman
pedofilia yang berlaku tanpa kita sedari. Sepertimana
yang kita semua maklum, pedofilia dan pornografi kanak-kanak adalah pelanggaran
hak asasi manusia yang serius dan kanak-kanak tidak sepatutnya didera atau
dieksploitasi secara fizikal, mental atau seksual. Pendedahan demi
pendedahan dibongkarkan tentang kewujudan kumpulan pedofilia tempatan. Pada Mei tahun lepas, kita dikejutkan dengan berita
yang tidak menyenangkan tentang Nur Fitri Azmeer Nordin, seorang penuntut
jurusan Matematik di Imperial College yang dijatuhi hukuman penjara 5 tahun
oleh mahkamah di London setelah didapati bersalah memiliki ribuan video dan
gambar lucah pornografi kanak-kanak, termasuk 601 imej "Kategori
A" yang menggambarkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur.
Dan terbaru ini satu kes
pedofilia yang melibatkan warga Britain, Richard Huckle yang didakwa melakukan
jenayah seksual terhadap 23 kanak-kanak serta bayi Malaysia dan Kemboja berusia
enam bulan hingga 12 tahun dan mencabul hingga 200 kanak-kanak kebanyakannya
daripada masyarakat miskin di Kuala Lumpur dari tahun 2006 hingga 2014
menimbulkan kerisauan sekaligus menggesa kita untuk mengambil tindakan yang
cepat dan tepat bagi menanganinya. Isu ini tertera dalam Daily Mail di UK.
Ancaman pedofilia yang semakin menular dan merentasi
sempadan ke seluruh pelusok dunia melalui internet dan pelbagai bentuk teknologi
maklumat masa kini sangat membimbangkan kerana ia memberi kesan yang besar kepada
keselamatan dan kesejahteraan anak-anak kita secara khususnya.
Untuk dikategorikan sebagai pedofilia, individu
tersebut sekurang-kurangnya berumur 16 tahun dan sekurang-kurangnnya 5 tahun
lebih tua dari mangsa kanak-kanak .
Kita mengetahui bahawa anak-anak adalah anugerah Tuhan yang diamanahkan
kepada kita untuk dijaga, dibelai, dilindungi dan dididik dengan sebaiknya dan
merekalah aset bernilai buat agama, negara dan umat ini. Generasi baru ini
berhak untuk mendapatkan sebuah kehidupan yang selamat dan sejahtera.
Di dalam Maslow’s Hierarchy of Human Needs, dinyatakan merasa selamat
dari segi kesihatan, kekeluargaan, kewangan dan maruah adalah perkara asas bagi
kehidupan seorang manusia. Ancaman pedofilia ini dengan jelas telah
mendatangkan kemudaratan dan bahaya kepada masyarakat dan generasi akan datang.
Pedofilia merujuk kepada mereka yang mempunyai kecenderungan seksual
kepada kanak-kanak. Ini merupakan satu penyakit psiakologi dan kehadiran pelaku
pedofilia dalam masyarakat tidak dinafikan akan mengancam keselamatan dan
kesejahteraan anak-anak. Mereka juga sukar dikesan kerana sering kali kelihatan
normal dan sangat mesra kanak-kanak. Dari banyak kejadian yang dilaporkan,
sering kali juga ianya melibatkan ahli keluarga terdekat atau mereka yang
hampir dengan kanak-kanak.
Kehadiran dunia siber yang tiada sempadan pula bukan sahaja membuka
ruang untuk kanak-kanak memperolehi maklumat tetapi ia juga menampilkan risiko
yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan kebajikan mereka. Kes pedofilia amat
berkait rapat dengan penyalah guaan kemudahan internet dalam mengeksploitasi
kanak-kanak yang sifatnya masih belum matang dari segi fizikal, mental dan
emosi, khususnya dalam kes ‘child pornography’.
Oleh itu, usaha untuk melindungi kanak-kanak dari golongan yang tidak
bertanggungjawab amat diperlukan. Bimbingan dan pengawasan oleh semua anggota
masyarakat terdiri daripada ibu bapa, penjaga, guru, komuniti dan NGO adalah
sangat penting untuk membenteras gejala yang menular dan memberi impak buruk
kepada masyarakat ini. Setiap pihak perlu merancang strategi yang kemas dan
efektif dan menggembleng tenaga untuk menyelesaikan permasalahan ini.
Pertamanya, setiap ahli masyarakat terutama para ibu bapa dan guru
harus mempunyai kesedaran dan ilmu yang jelas tentang pedofilia dan ancamannya
kepada kanak-kanak. Ilmu yang mendalam tentang perkara ini akan memberi
kefahaman kepada kita punca berlakunya pedofilia, bagaimana untuk mengenalpasti
masalah ini jika berlaku kepada anak-anak kita,
kesan gangguan seksual kepada kanak-kanak dan apakah cara yang
efektif yang boleh diambil untuk mengawal dan mencegah permasalahan ini. Kita
perlu lebih serius dan komited untuk ambil tahu dan mendalami isu ini kerana
setiap anak-anak kita terdedah dengan ancaman pedofilia ini sama ada sebagai
mangsa atau pemangsa.
Menurut satu kajian di Amerika Syarikat, sebanyak 3% daripada
jumlah penduduknya dijangka ada masalah ini dan melakukan jenayah seksual
terhadap kanak-kanak. Para pengamal pedofilia ini dikenalpasti oleh
pakar psikiatri sebagai kelompok yang mengalami gangguan seksual dalam
kehidupannya. Mereka tertarik melihat kanak-kanak sebagai objek seksual
disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya naluri seks dari awalnya sangat
berminat dengan kanak-kanak yang mudah dimanipulasi, masalah tidak yakin
diri untuk membersama wanita dewasa dan juga masalah interpersonal yang
terbantut. Kebanyakan pedofilia akan mengambil kesempatan keatas kanak-kanak
yang kurang mendapat perhatian ibubapa dan mudah percaya kepada
orang asing yang menghulurkan bantuan dan kasih sayang. Kesannya, anak-anak
yang sangat naif dan mudah terpedaya dengan pengamal pedofil ini kebanyakannya
menjadi mangsa melalui saluran internet terutama di media sosial.
Para pakar perunding psikiatri mendapati impak terhadap kanak-kanak yang
mengalami gangguan seksual oleh pedofilia ini adalah sangat membimbangkan
kerana ia meninggalkan kesan trauma yang menyebabkan kemurungan dan ada juga
yang ketagihan seks sejak kecil.
Oleh itu, para ibu bapa, pengasuh, guru-guru dan ahli masyarakat perlu
mengambil inisiatif untuk mempelajari dan mendalami ilmu seksualiti ini yang
mana kita maklum bahawa pendidikan seksualiti sangat perlu diterapkan di setiap
peringkat umur, bukan hanya untuk kanak-kanak kerana ianya proses pembelajaran
sepanjang hayat.
Selain itu, ibu bapa dan guru-guru perlu menguasai ilmu teknologi dan
berusaha untuk membimbing anak-anak ini untuk melayari internet secara sihat
agar tidak terjebak dalam gejala pornografi dan seterusnya terdedah kepada
ancaman pedofilia.
Perkara kedua yang boleh dilaksanakan untuk menangani isu pedofilia ini
ialah semua pihak perlu proaktif memainkan peranan penting dalam mendidik
anak-anak tentang isu ini.
Sebagai contoh, ibubapa di rumah perlu mengamalkan komunikasi terbuka
dan asertif di dalam rumah tangga untuk menyampaikan pendidikan seksualiti
dengan mengambil kira perwatakan dan kematangan anak-anak. Pendidikan yang
berhikmah adalah satu kemahiran/skil yang perlu digarap oleh setiap ibubapa dan
pengasuh untuk memastikan anak-anak memahami isu dengan cara yang baik dan
rasional. Ibu bapa dan guru perlu merangka satu jawapan yang baik, jelas dan
sesuai dengan usia untuk anak-anak ini sekiranya mereka bertanya soal seks ini.
Dalam pendidikan islam, pendedahan pendidikan seksualiti ini seharusnya
bermula dari rumah. Dr Abdullah Nasih Ulwan di dalam buku
Tarbiyatul Aulad fil Islam menulis secara terperinci tentang
pendidikan seksual ini mengikut 4 tahap umur iaitu Mumayyiz (7-10
tahun) yang mana mereka diasingkan tempat tidur antara lelaki dan
perempuan dan diajar adab melihat juga adab meminta izin apabila ingin masuk ke
bilik ibu bapa. Tahap kedua ialah tahap prabaligh iaitu Murahiqah (10-13
tahun) yang mana mereka dididik tentang perubahan diri juga diawasi
daripada perkara-perkara yang boleh merangsang nafsu seks. Tahap ketiga ialah
pada umur akil baligh iaitu 14-16 tahun.
Mereka diajar adab berhubungan antara lelaki dan perempuan dan tahap
terakhir pada usia 17 tahun ke atas mereka diberi kefahaman tentang
tanggungjawab reproduksi dan dididik dengan adab menjaga maruah dan kehormatan
diri.
Di era teknologi yang pesat ini, sekiranya kita tidak proaktif mendidik
anak-anak perihal ini, mereka sendiri akan mendapatkan informasi dari sumber
internet yang lebih cepat atau pun daripada kawan-kawan sebaya yang mana kita
khuatiri ianya didapati daripada sumber yang tidak tepat dan tidak sihat.
Tambahan daripada itu kanak-kanak seawal usia lima tahun perlu diberi
pendedahan dan pendidikan mengenai bahaya ancaman jenayah seksual oleh pelaku
pedofilia ini, juga diberi bimbingan tentang sentuhan selamat dan tidak selamat
daripada orang asing. Kekurangan pengetahuan mengenai gangguan seksual terhadap
kanak-kanak menyebabkan kebanyakan kes seumpama itu tidak dilaporkan. Perkara
ini boleh dibendung sekiranya kanak-kanak diajar untuk sensitif dan berhati-hati
dengan persekitaran, dipersiapkan dengan kemahiran melindungi diri dan
dibimbing cara bertindak untuk mencegah perkara tersebut daripada mengesani
diri mereka.
Di dalam usaha untuk memberi pendidikan kepada kanak-kanak, semua pihak
yang berinteraksi dengan kanak-kanak perlu memastikan kualiti komunikasi dengan
mereka adalah baik. Komunikasi yang berkualiti tinggi antara ibubapa dan
anak-anak akan menghasilkan ‘common sense’ atau telepati yang kuat antara
mereka yang mana ibubapa boleh meneka jika ada sesuatu perkara yang kurang baik
berlaku pada perubahan diri anak-anak mereka. Adalah
menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memupuk keyakinan diri anak-anak supaya
berani bersuara dan berkomunikasi sekiranya dibuli atau didera oleh salah
seorang daripada pelaku jenayah seksual. Mengikut kajian, kanak-kanak
yang berisiko tinggi untuk menjadi mangsa pedofilia adalah kanak-kanak yang
dibesarkan daripada keluarga yang kualiti komunikasinya rendah.
Oleh itu, para ibubapa, pengasuh, jiran tetangga dan juga guru-guru
perlu berusaha untuk mewujudkan hubungan yang serasi dengan kanak-kanak
iaitu dengan menghormati perasaan anak-anak, melatih diri kita menjadi
pendengar yang empati dan memberi respons yang positif kepada aduan mereka.
Sebagaimana yang kita yakini kanak-kanak bukan sahaja untuk dilihat selamat
tetapi juga didengari. Dengan mendengar, kita boleh selamatkan anak-anak dari
bahaya pedofilia.
Selain daripada itu, ibu bapa yang sering memuat naik gambar anak-anak
di laman sosial perlulah lebih berhati-hati dan mengawal siapa yang boleh
melihat dan melayari akaun peribadi masing-masing.
Ahli masyarakat pula perlu prihatin untuk membentuk suasana yang
selamat dan saling memastikan keharmonian di kawasan kejiranan masing-masing.
Kita perlu mengambil tahu siapa sahabat di lingkungan anak-anak kita dan
anak-anak jiran, juga mengawal dan memantau bahan bacaan juga tontonan
anak-anak agar sentiasa terpandu dan tidak terdedah kepada perkara yang tidak
sihat. Sebagai ahli masyarakat kita seharusnya peka terhadap perubahan yang
berlaku kepada sikap anak-anak dan kawan-kawannya agar perkara yang tidak
ingini berlaku ini dapat ditangani dalam kadar segera.
Selain daripada itu, pihak kerajaan juga boleh berperanan dengan
melaksanakan Rang Undang-Undang Kanak-kanak (Pindaan) 2015 secara menyeluruh
dan efektif dan pada masa yang sama memperkemas pangkalan data mengenai
maklumat pesalah yang telah disabitkan dengan kesalahan jenayah seksual
melibatkan kanak-kanak bagi mengelak kejadian seperti ini daripada berulang.
Pemangsa perlu dikenakan hukuman yang lebih berat dan diasingkan
dari masyarakat untuk dirawat sehingga mereka benar-benar sembuh. Proses ini
akan memakan masa. Mereka tidak boleh dibiarkan berlegar di dalam masyarakat
dengan bebas.
Pihak kerajaan juga harus bertindak pantas dalam
mengesan kegiatan pelaku pedofil dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa di
luar negara dalam usaha mengesan jenayah seumpama itu yang banyak berlaku dan
meluas dalam dunia siber yang sukar dikesan. Dengan cara itu, kita dapat mengenal
pasti mangsa dan keluarga terbabit lebih cepat dan dapat segera menyediakan
pelbagai bantuan sewajarnya serta menawarkan khidmat kauseling untuk mangsa
terutamanya dalam menangani trauma berikutan kejadian itu
Badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti
Pertubuhan IKRAM Malaysia dan pertubuhan yang lain perlu sentiasa
mengambil bekerjasama mengambil inisiatif secara serius dan berterusan bagi
memastikan masyarakat sedar dan mampu berperanan untuk mengatasi permasalahan
ini. Antara perkara yang kita laksanakan adalah membuat ‘engagement’ yang
mantap dengan kumpulan-kumpulan advokasi berkaitan untuk bersama-sama memberi
penyataan yang tegas bahawa pedofilia adalah satu ancaman yang besar dalam
masyarakat dan melaksanakan satu usaha yang berkesan untuk menangani isu ini.
Selain itu wacana-wacana berbentuk pendidikan diadakan secara berkala di
seluruh Negara untuk memberi kesedaran kepada semua tentang ancaman pedofilia,
kesannya kepada kanak-kanak dan cara menanganinya. Program kempen seperti ‘Mothers
Against Pornography (MAP)’ yang digerakkan oleh Wanita IKRAM melalui
sekretariat MAP Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan, yang membawa mesej
jelas bahawa gejala seksual yang tidak sihat akan memberi impak negatif kepada
pertumbuhan anak-anak perlu dipergiatkan lagi. Kempen ini banyak membantu
masyarakat untuk menyedari tentang bahaya pornografi dan bagaimana untuk
mengawal dan mencegah daripada anak-anak. Kita perlu mengawal anak-anak kita
dengan rapi dan memberi peluang kepada mereka menggunakan internet dalam keadaan
terpandu (guided) agar mereka terpelihara daripada terjerumus dalam
budaya porno. Kesan pornografi ini sangat membimbangkan kerana ia boleh
menyebabkan anak-anak kita menjadi mangsa kepada jenayah pedofil atau menjadi
pengamal pedofil.
Mari kita sama-sama berazam untuk lakukan sesuatu. Bertindak di
peringkat kita untuk menyelamatkan masa depan anak-anak dan generasi masa depan
dan negara.
Mari kita bersama-sama menggembleng tenaga untuk menangani isu pedofilia
yang semakin menular dalam masyarakat kita. Marilah kita bergandingan tangan
dan bekerjasama untuk memberikan pendidikan, perlindungan dan pembelaan yang
sebaiknya kepada anak-anak kita yang merupakan penentu masa depan agama dan
Negara. Sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan dengan usaha baik daripada
keluarga, sekolah, kerajaan, badan bukan kerajaan mahupun masyarakat, anak-anak
kita akan menjadi generasi yang baik akhlak dan mampu menikmati kesejahteraan
hidup dengan selamat dan harmoni. Semoga Tuhan melindungi kita semua daripada
kejahatan dan kemungkaran.
Selamatkan anak kita
dari menjadi mangsa atau pun pemangsa!
Sekian. Terima kasih sekali lagi atas kehadiran, kesungguhan dan
sokongan yang diberikan.
C.UGANESWARAN
No comments:
Post a Comment